mutakhir

Hutang tak pinjam

Oleh HM Digital

Kuantan: Malang bagi seorang wanita apabila terpaksa menanggung beban hutang ribuan ringgit apabila nama dan nombor kad pengenalannya digunakan individu untuk membuat pinjaman pelaburan di sebuah institusi kewangan di daerah ini.

Wanita hanya mahu dikenali sebagai Sue, 45, berkata dia kini buntu dan teraniaya kerana masalah itu sudah berlarutan sejak 2010 apabila dimaklumkan mempunyai sejumlah hutang tertunggak itu ketika mahu membuka akaun untuk simpanan wang gaji bulanannya pada September 2010.

“Ketika hendak memohon pembukaan akaun di cawangan bank di Kuala Lumpur, pegawai bank berkenaan memaklumkan saya mempunyai hutang tertunggak bagi tempoh 72 bulan berjumlah RM97,000 selepas dikatakan membuat pinjaman sebanyak RM38,000 pada 1997 di cawangan bank di daerah ini sedangkan ketika itu saya menetap di Kuala Lumpur.

“Saya memaklumkan kepadanya yang saya belum pernah membuka akaun atau membuat sebarang urusan di bank itu sebelum datang atas tujuan dinyatakan (pembukaan akaun),” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Berikutan itu, wanita yang kini bekerja sebagai pembantu kedai makan di Jalan Alor Akar di sini, membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya, Selangor pada 28 Oktober 2010. Selepas laporan pertamanya tidak menunjukkan sebarang perkembangan, dia kemudian membuat satu lagi laporan pada 2 Oktober 2017 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Menurutnya, dia difahamkan oleh pihak bank yang individu terbabit menggunakan nama dan nombor kad pengenalannya untuk membuat pinjaman bagi pembelian unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

“Lebih mengejutkan saya, surat daripada mahkamah untuk tuntutan bayaran sudah pun dikeluarkan dan pihak bank mengisytiharkan saya bankrap, tetapi yang peliknya saya tidak pernah menerima walau sepucuk surat daripada pihak mahkamah,” katanya.

Sue kemudian mengambil tindakan membuat semakan nama di Bank Negara Malaysia (BNM), Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan Agensi Pelaporan Kredit, tetapi dimaklumkan namanya tiada dalam senarai peminjam disenaraihitamkan.

“Ia sekali gus menolak dakwaan pihak bank berkenaan yang menyatakan saya diisytihar bankrap dan saya rasa benar-benar teraniaya akibat perbuatan individu tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Katanya, dia pernah diminta menjelaskan wang pendahuluan RM5,000 untuk mendapatkan khidmat peguam di sebuah syarikat guaman jika mahu kes itu disiasat.

Masalah itu terus menghantuinya kerana dia tidak boleh membuat sebarang pinjaman termasuk perumahan dan kenderaan malah turut dinasihatkan tidak membuka akaun di mana-mana institusi kewangan buat masa ini.

Disiarkan pada: January 24, 2018 @ 5:28am
d