mutakhir

Bongkah batu menjunam

Oleh Norizuan Shamsuddin

Ampang: Penduduk pangsapuri berhampiran Jalan Saga 28, Taman Bukit Saga cemas susulan kejadian runtuhan bongkah batu besar pada bukit berhampiran diikuti banjir lumpur.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi semalam, bongkah batu dari tapak projek terletak di atas bukit berkenaan jatuh secara mendadak ketika kerja pembinaan dilakukan.

Kejadian menyebabkan beberapa rumah dan kenderaan penduduk di kawasan itu ditenggelami lumpur dan batu.

Difahamkan insiden berpunca dari tapak projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Bagaimanapun, kejadian itu tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa kepada pekerja mahupun penduduk sekitar kawasan berkenaan.

Kejadian itu disahkan pihak syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) yang juga pemegang konsesi projek lebuhraya SUKE berkenaan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan semalam, pihaknya menerusi syarikat Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd memandang serius ke jadian itu dan siasatan lanjut dilakukan,

“Kami menyiasat kejadian ini dan sudah mengambil langkah menghentikan serta-merta kerja di tapak pembinaan selain melakukan operasi pembersihan di kawasan itu.

“Semua kenderaan penduduk yang kotor akibat kejadian itu dibawa ke pusat pembersihan kenderaan dengan segera.

“Kaunter rujukan turut disediakan bagi menerima aduan orang awam dan memantau kerja pembersihan selain menempatkan pasukan Emergency Response Team (ERT) yang bertugas 24 jam bagi menghadapi sebarang kecemasan,” katanya.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap kontraktor terbabit sekiranya siasatan dilakukan mendapati ada unsur kecuaian dalam melaksanakan tugas.

“PROLINTAS memberi jaminan bahawa keselamatan dan keselesaan orang awam dan penduduk di sekitar kawasan pembinaan SUKE menjadi keutamaan kami.

“Jika orang awam mempunyai sebarang maklumat berkaitan salah urus kontraktor, mereka boleh terus salurkan maklumat kepada kami melalui talian Hotline 1-300-88-9922 atau e-mel feedback.suke@prolintas.- com.my,” katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2018 @ 5:40am
d