mutakhir

Remaja maut motosikal terbabit nahas

Oleh Amran Yahya

REMAJA lelaki maut manakala rakannya parah apabila motosikal ditunggang bertembung dengan Proton Wira di Kilometer 8, Jalan Juasseh-Bahau, berhampiran Kampung Terusan, Kuala Pilah, 5.15 petang semalam.

N Prakash Rao, 19, disahkan mati di lokasi manakala pembonceng, M Theventiran, 18, parah dan dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk rawatan.

Sumber polis berkata, kemalangan berlaku apabila Yamaha LC135 ditunggang Prakash Rao dari Juasseh mahu memotong kenderaan di depan.

“Ia gagal sebelum motosikal terbabit merempuh Proton Wira di laluan bertentangan.

“Kedua-dua mangsa tercampak. Bagaimanapun, pemandu Proton Wira, Rohaizi Mat Husin yang berusia 52 tahun serta empat penumpang selamat,” katanya hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Haslah Bachok ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2018 @ 11:51am
d