mutakhir

APMM tahan kapal bawa diesel [METROTV]

Oleh Helmy Abd Rahman

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan kapal tangki membawa muatan 240,000 liter diesel bernilai RM500,000 selepas mengesyaki terdapat aktiviti urusniaga minyak tanpa permit di perairan Kuala Terengganu, semalam.

Timbalan Pengarah Maritim Wilayah Timur (Operasi), Kapten Maritim V Pannir Selvan berkata, pihaknya turut menyiasat lima kru warga Bangladesh yang berada di atas kapal itu.

"Kapal tangki itu berdaftar di Pelabuhan Klang, Selangor menggunakan nama MT Aliya Sari itu dan ditahan ketika bersauh di hadapan Jeti Marina Pulau Duyong, di sini, kira-kira 9.30 pagi semalam.

"Menerusi dokumen yang disertakan kru kapal, mereka dikatakan dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Pulau Redang untuk menghantar bekalan minyak diesel dan hasil siasatan mendapati ia daripada gred berkualiti tinggi," katanya kepada media di sini, hari ini.

Ketika ditahan, katanya, kru kapal terbabit gagal menyediakan dokumen asal pengesahan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"Berdasarkan maklumat, kapal terbabit mendapat kebenaran untuk berlabuh di jeti terbabit sehingga Ahad namun masih berada di lokasi sehingga hari ditahan, semalam.

"Selain itu, empat kru kapal tangki terbabit juga gagal memberikan dokumen perjalanan sah dan hanya menyerahkan salinan passport kepada pasukan serbuan," katanya.

Menurutnya, APMM masih menyiasat dari mana minyak diesel terbabit datang dan keperluan mereka menghantar minyak dengan kuantiti banyak.

"Kita juga sedang siasat apa perlunya mereka hantar minyak yang berkualiti tinggi itu ke Pulau Redang," katanya.

Beliau berkata, kapal MT Aliya Sari pernah ditahan pada November 2016 dan pemiliknya didenda RM12,000 selepas mengaku salah atas pertuduhan melabuhkan kapal di lokasi tidak sah serta tidak melaporkan ketibaan pelepasan kepada JKDM.

"Buat masa ini, kapal terbabit masih ditahan di perairan Pulau Duyong berikutan kami masih menunggu dokumen asal daripada syarikat kapal tangki itu supaya siasatan menyeluruh dapat dijalankan.

"Kapal tangki terbabit ditahan untuk pemeriksaan lanjut dan mungkin disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2018 @ 12:11pm
d