mutakhir

Syabas, JKDM!

Oleh Hayati Ibrahim

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menyelamatkan lebih RM1 bilion hasil negara tahun lalu melalui kejayaan mematahkan cubaan penyeludupan beberapa komoditi seperti kenderaan, rokok dan minuman keras.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pencapaian ini diperoleh hasil daripada tahap integriti yang tinggi dalam kalangan warga kastam sehingga dapat mengurangkan ketirisan hasil.

"Saya tidak syak dan ragu-ragu JKDM akan terus menunjukkan peningkatan dari segi penyampaian dan perkhidmatan setiap tahun.

"Malah, saya yakin dan percaya dalam apa juga keadaan, walaupun ditekan dan diugut, walaupun kereta dibakar, anggota kastam tidak akan mengalah.

"Sebaliknya lebih kuat semangat untuk menjalankan tugas seperti yang diamanahkan," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-36 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Timbalan Menteri Kewangan II Datuk Seri Lee Chee Leong; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa; Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T Subromaniam

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan memberi jaminan tidak mempunyai cadangan untuk menaikkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan kadarnya kekal pada enam peratus sejak diperkenalkan pada 1 April 2015.

Beliau sekali lagi turut menegaskan pelaksanaan GST bukan untuk membebankan rakyat, tetapi penyelamat kepada ekonomi negara.

Katanya, sebuah kerajaan hanya menjadi sebuah kerajaan yang dapat memenuhi aspirasi rakyat jika sumber kewangan negara stabil dan semakin meningkat.

"Kalau tidak ada GST, saya tidak yakin bayaran khas kepada 1.6 juta penjawat awam boleh diberikan.

"Mana tahu kerajaan terjerumus dalam kegawatan ekonomi," katanya.

Katanya, pada tahun lalu, jumlah GST yang berjaya dikutip sebanyak RM44 bilion berbanding RM41 bilion tahun lalu.

"Tahun ini walaupun dalam perbentangan Bajet 2018 saya umum sasaran kutipan GST sebanyak RM43 bilion, tetapi Ketua Pengarah bisik kepada saya mungkin boleh capai RM45 bilion tahun ini.

"Saya beri jaminan kepada rakyat kadar GST negara adalah yang terendah di dunia dan jumlah barang serta perkhidmatan yang dikecualikan GST juga paling banyak," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan Malaysia GST Compliance Assurance Programme (MyGCAP).

Disiarkan pada: January 24, 2018 @ 5:01pm
d