mutakhir

Tragedi jolok buah mangga

Oleh Fardy Bungga

LELAKI berusia 53 tahun maut selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba menjolok buah mangga dalam kejadian di Jalan Langkawit, Kampung Benoni, Papar, kira-kira 1 tengah hari tadi.

Mangsa, Madius Kandurug dikatakan cuba mengambil buah di halaman tempat kerjanya menggunakan batang besi sebelum dipercayai tersentuh kabel elektrik bervoltan tinggi.

Akibat kejadian itu, mangsa rebah dan tidak sedarkan diri sebelum ditemui rakan sekerjanya kira-kira sejam selepas itu.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Papar, Janil Jaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.13 petang daripada rakan sekerja mangsa.

Katanya, setibanya di lokasi, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pemeriksaan pasukan perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia.

“Mangsa terkena renjatan elektrik selepas cuba menjolok buah mangga menggunakan sebatang besi panjang.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2018 @ 5:24pm
d