mutakhir

Maut dirempuh tiga lori

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

LELAKI berusia 37 tahun maut selepas Proton Iswara dipandunya dirempuh tiga lori di Jalan Kluang-Ayer Hitam, Batu Pahat Johor, 9.30 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, mangsa dikenali sebagai Hasryizam Jamari maut di lokasi kejadian.

“Mangsa dari arah Ayer Hitam menghala ke Batu Pahat. Semasa kenderaan mangsa dalam keadaan berhenti dan ingin masuk ke simpang sebelah kanan, sebuah lori tidak sempat membrek lalu melanggar belakang Proton Iswara mangsa. Akibat perlanggaran itu, kenderaan mangsa termasuk ke lorong sebelah kanan.

“Sebuah lori lain dari arah bertentangan melanggar kereta mangsa disusuli sebuah lagi lori,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, seorang daripada pemandu lori berusia 28 tahun cedera ringan dan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan lanjut.

“Dua lagi pemandu lori berusia 31 dan 60 tahun tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2018 @ 10:29pm
d