mutakhir

KTMB sedia tren tanpa henti sempena Thaipusam

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan perkhidmatan tren KTM Komuter tanpa henti selama tiga hari dua malam bermula 30 Januari hingga 1 Februari ini bersempena sambutan Thaipusam.

Pengurus Besar Perkhidmatan KTMB, Khair Johari Ishak berkata, perkhidmatan ini disediakan bagi memberi kemudahan kepada orang ramai khususnya penganut Hindu dan pelancong yang merancang perjalanan ke Batu Caves.

“Waktu operasi tren akan dilanjutkan selepas waktu perkhidmatan sedia ada yang terakhir dengan penyediaan tren tambahan antara jam 10.50 malam hingga jam 5.30 pagi. Jadual waktu perkhidmatan KTM Komuter pada 31 Januari (Rabu) dan 1 Februari (Khamis) adalah mengikut jadual waktu hari bekerja sedia ada.

“Jumlah keseluruhan perkhidmatan tren yang disediakan untuk tempoh tiga hari dua malam itu adalah sebanyak 783 perkhidmatan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat KTMB, semalam.

Taklimat ringkas disampaikan S Mahendran, yang turut mengingatkan pengguna beberapa perkara yang perlu diberi perhatian untuk memastikan kelancaran perjalanan.

“Pengguna perlu menggunakan Kad Komuter Link atau Touch n’ Go untuk perjalanan sehala atau pergi balik dari Stesen Batu Caves sepanjang tempoh perkhidmatan tiga hari dua malam itu.

“Pihak kami juga akan memberikan Kad Komuter Link dewasa dan konsesi secara percuma dan kad ini perlu ditambah nilai bermula dari RM3,” katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2018 @ 3:22am
d