mutakhir

Ikon hati kering

Oleh Nazdy Harun

Dungun: Walaupun pernah berdepan kerugian ratusan ribu ringgit dalam perniagaan, seorang pemuda ‘hati kering’ ini sanggup mempertaruhkan masa depannya untuk kembali bangkit dalam waktu singkat sebelum diangkat sebagai ikon usahawan muda Projek Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Hulu Terengganu.

Mohd Shahrul Wahab, 28, dari Taman Cenderawasih berkata, minatnya dalam bidang perniagaan sudah lama berputik kerana ibu bapanya adalah peniaga sate di daerah berkenaan.

Menurutnya, dia tidak memilih untuk mewarisi perniagaan keluarganya itu, tetapi sebelum ini mencari jalannya sendiri dengan membuka sebuah kedai pencetakan

“Akibat tersilap percaturan saya mengalami kerugian dalam perniagaan itu, walaupun melalui keadaan perit akibat kerugian dalam perniagaan itu, tetapi saya terus menumpukan perhatian dalam perniagaan yang sama dengan melakukan kerja reka bentuk serta mengambil tempahan secara sambilan, manakala percetakannya di kedai lain bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Dalam masa melakukan kerja secara sambilan itu, saya turut memohon untuk menambah ilmu bersama Empower ECER Hulu Terengganu dan bernasib baik permohonan itu diterima,” katanya yang juga mempunyai kelulusan peringkat diploma Kolej Universiti Terengganu Advanced Tecnical Institute (TATI).

Menurutnya, ketika menyertai kelas pengurusan perniagaan Empower ECER, dia kemudian memberanikan diri untuk membuka sebuah kedai mencetak di Jalan Gong Pasir di sini, dengan modal RM120,000.

Katanya, hasil usaha dan tunjuk ajar tenaga pengajar itu membuatkannya mampu berdiri atas kaki sendiri untuk menguruskan perniagaan.

“Kedai baru sudah dibuka dan baru beroperasi lima bulan, tetapi mula dikenali pelanggan, manakala setiap bulan mampu memperoleh pendapatan RM3,000 hingga RM5,000,” katanya.

Shahrul berkata, dia tetap memilih perniagaan sama kerana sebelum ini sudah mempunyai pengalaman tetapi diperkuatkan dengan gaya pengurusan perniagaan yang lebih baik selepas mengikuti kursus di Empower ECER.

Menurutnya, dia merancang untuk menambah mesin pencetak di kedainya berikutan permintaan kini kian meningkat dan setiap tempahan yang dihasilkan mampu siap dalam tempoh 23 jam, manakala bagi pelanggan yang mempunyai reka bentuk sendiri boleh disiapkan hanya dalam masa lapan jam.

Sementara itu, Pengurus Projek Empower ECER Hulu Terengganu Surain Kanda berkata, ECER Hulu Terengganu memilih Shahrul sebagai ikon muda yang berjaya kerana mampu bangkit dalam waktu singkat selepas mendapat tunjuk ajar melalui langkah pemasaran yang tepat.

“Kami berbangga melihat pencapaian anak muda ini kerana dia boleh mencetuskan keberanian golongan muda untuk menjadikan perniagaan sebagai pekerjaan mereka.

“Walaupun pernah jatuh, tetapi peserta kita ini menunjukkan komitmen tinggi untuk berjaya dalam perniagaan, oleh itu kita angkatnya sebagai ikon yang boleh dicontohi anak muda lain,” katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2018 @ 3:27am
d