mutakhir

Perlu kerusi roda mudahkan bergerak

Oleh HM Digital

Kulim: “Saya tetap akan menjaganya sebaik mungkin dan kini hanya memerlukan kerusi roda khas bagi memudahkan pergerakan anak,” kata ibu tunggal, Nor Emylia Ariffin, 37, mengenai anak tunggalnya, Sufi Naim Mohd Samsol, 9, yang menghidap barah otak dan Cerebral Palsy (CP).

Kisah Sufi Naim mendapat perhatian netizen selepas tular di media sosial Facebook (FB) hingga mereka mewujudkan tabung bagi membeli kerusi roda khas berharga RM2,850 untuk kanak-kanak itu.

Nor Emylia berkata, anaknya mengalami masalah itu sejak lahir dan berulang-alik ke hospital untuk menerima rawatan.

Menurutnya, dia yang bekerja sebagai jurutol di Lebuhraya Butterworth- Kulim (BKE) bernasib baik apabila majikannya banyak membantu dalam urusan anak di hospital, namun segala kelengkapan di rumah dan penjagaannya perlu ditanggung sendiri.

“Setiap tiga bulan, anak saya perlu mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan barah dan sepanjang tiga tahun lalu, sudah tiga kali anak menjalani pembedahan di kepala untuk membuang ketumbuhan.

“Selain menjalani rawatan di PPUM, anak turut menjalani pemeriksaan susulan di hospital swasta di Seberang Jaya, Pulau Pinang melalui insurans tempat saya bekerja.

“Bagaimanapun, segala peralatan dan makanan khas perlu ditanggung sendiri menggunakan wang zakat diterima RM600 sebulan manakala wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 digunakan untuk membeli peralatan dan susu khas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Ria, Padang Serai di sini, semalam.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi Nor Emylia di talian 0111-5402282.

Disiarkan pada: January 25, 2018 @ 3:38am
d