mutakhir

Kerusi tinggi buat pengunjung berfikir

Oleh HM Digital

Shah Alam: Arca kerusi tinggi hasil ciptaan penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Halus, Seni Arca menjadi antara karya menarik dipertontonkan di Pameran Ijazah 2018 anjuran Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM) bermula Ahad lalu sehingga Jumaat ini.

Penuntut berkenaan, Nor Shyrul Syaaban Jamaludin, 23, berkata, arca kerusi bertajuk Aim High itu menonjolkan keunikan apabila memberi kelainan terhadap fungsi ciptaan kerusi hanya sebagai tempat duduk.

“Hasil karya itu berdasarkan teori Plato yang menyatakan benda di dalam dunia ini semua berulang sebagai contoh kerusi, manusia terus mencipta berdasarkan fungsinya bagaimanapun dalam bentuk berbeza.

“Apabila kerusi itu diterjemahkan dalam bentuk seni, saya buat kerusi berkenaan hilang fungsi utamanya iaitu untuk duduk, bagaimanapun mahu orang berfikir kenapa ia tidak boleh diduduk, ” katanya pada majlis perasmian pameran berkenaan di sini, semalam.

Seramai 49 penuntut Ijazah Sarjana Muda Seni Halus mempamerkan karya masing-masing terdiri seni catan, arca, seramik dan cetakan bertemakan autobiografi, spiritual serta budaya.

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar UiTM Prof Madya Alias Yussof.

Selain arca kerusi, lukisan figura kartun superhero di atas pelbagai jenis bahan hasil eksperimen penuntut Ijazah Sarjana Muda Seni Halus, Seni Catan Muhammad Aimman Mohd Hafizal, 23, juga menarik perhatian.

Muhammad Aimman berkata, dia memilih tema watak kartun kegemarannya disebabkan obses terhadap kartun sejak kecil.

“Saya memilih melukisnya di atas bahan lain seperti kayu dan pelbagai lagi berbanding kebiasaannya iaitu kanvas. Saya cuba teroka lebih jauh lagi bahan lain yang boleh digunakan untuk melukis dan pada masa sama memberi peluang mencari identiti pelukis satu hari nanti,” katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2018 @ 4:27am
d