mutakhir

Gara-gara tak puas hati kena saman [METROTV]

Oleh Faliq Lajim

EMPAT anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan dipanggil dalam masa terdekat berhubung rakaman video insiden pertikaman lidah dengan seorang lelaki di Jalan Sentosa 33, Klang yang tular di media sosial sejak semalam.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terhadap anggota yang berada dalam video terbabit.

"Keempat-empat anggota itu akan dipanggil dalam masa terdekat untuk kami lakukan siasatan dalaman berhubung kejadian itu.

"Bagaimanapun lelaki dalam rakaman video itu sudah tampil meminta maaf berhubung tindakannya meninggikan suara seterusnya mencetuskan situasi tegang," katanya hari ini.

Rakaman kejadian yang berlaku pada 13 Disember itu menjadi tular di media sosial semalam yang mana seorang lelaki berusia 50-an bertindak mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota penguat kuasa MPK.

Kejadian itu menyebabkan berlaku kekecohan antara lelaki serta penguat kuasa itu.

Lelaki itu tidak berpuas hati selepas keretanya disaman atas kesalahan meletakkan kenderaan di tempat salah.

Norfiza berkata, MPK mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam menunda mana-mana kereta yang menghalang lalu lintas.

"Kita tidak akan bertindak secara membuta tuli seperti apa yang dihebahkan di media sosial.

"MPK menasihatkan orang ramai mematuhi peraturan dalam meletakkan kenderaan serta tidak menghalang lalu lintas.

"Kami (MPK) tidak teragak-agak mengambil tindakan mengikut peraturan ditetapkan kepada mereka yang ingkar," katanya.

Rakaman video berdurasi 2 minit 40 saat itu tular apabila seorang lelaki bertindak mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota penguat kuasa MPK selepas kenderaannya disaman.

Salah seorang anggota MPK itu dilihat cuba memberi penjelasan, namun lelaki itu memberi pelbagai alasan sehingga menimbulkan situasi tegang.

Beberapa anggota penguat kuasa MPK lain turut menenangkan lelaki itu serta rakan mereka.

Di hujung video berkenaan kedua-dua pihak kemudiannya beredar meninggalkan tempat kejadian.

Disiarkan pada: January 25, 2018 @ 4:27pm
d