mutakhir

680 pohon Sistem Insuran Pekerjaan PERKESO

Oleh Helmy Abd Rahman

LEBIH 100 daripada 680 pemohon sudah boleh menerima bayaran Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) sejak ia dilancarkan 1 Januari lalu.

Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Tan Sri Dr Aseh Che Mat berkata, menerusi kemudahan itu, permohonan yang layak akan menerima sumbangan interim RM600 sebulan

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan dana RM122 juta kepada PERKESO untuk melaksanakan SIP dengan pemohon juga perlu menyertai Program Penempatan Pekerjaan Semula yang akan dikawal selia pertubuhan itu untuk meningkatkan produktiviti mereka.

“Yang kita hendak lakukan ialah padankan supaya kalau boleh dia dapat kerja tempat lain.

“Mereka yang layak boleh menerima bayaran maksimum sehingga enam bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Cek Faedah PERKESO di Wisma PERKESO di Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama Ketua Eksekutif merangkap Ketua Pengarah PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) Datuk Azih Muda.

Pada perkembangan lain, Aseh berkata, PERKESO membuat bayaran faedah RM3.2 bilion kepada penerima yang layak sepanjang tahun lalu, meningkat berbanding RM2.9 bilion pada 2016.

Menurutnya, pembayaran itu dibuat kepada 560,000 penerima baru dan yang menerima secara berterusan.

“Bagi Terengganu, bayaran faedah RM14 juta dibuat untuk 13,906 individu membabitkan 1,158 kes kemalangan pada 2017 berbanding RM11 juta tahun sebelumnya.

“Ini menunjukkan komitmen PERKESO yang melampaui jangkaan pelanggan dan ia menjamin jaringan keselamatan di mana pencarum disediakan faedah sekiranya berlaku kemalangan, keilatan dan kematian kepada mereka sendiri atau pewaris,” katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2018 @ 4:47pm
d