mutakhir

'Polompang' didenda RM1,800

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

LELAKI yang menampar pekerja pasar raya NSK Seremban sehingga video itu tular di laman sosial didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Tertuduh, Abdul Aziz Othman@Ahmed, 38, yang bekerja sebagai peniaga membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Zaki Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Qaiyim Kamaludin, 17, di bahagian penyimpanan barang berhampiran tempat pemotongan daging ayam di pasar raya NSK Seremban, kira-kira 11 malam, pada 14 Januari lalu.

Berikutan kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, berlaku perselisihan faham antara mangsa dan tertuduh berkenaan tempahan daging ayam menyebabkan tertuduh marah kerana mangsa mengatakan tidak menerima tempahan daripada lelaki itu.

Berlaku pertengkaran antara mereka dan rakan sekerja meminta mangsa beredar sebelum tertuduh datang menarik rambut serta menampar mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya Soo Kok Weng yang mengendalikan kes memohon hukuman setimpal sebagai memberi pengajaran.

"Pukulan berlaku di tempat terbuka dan khalayak ramai selain tular di laman sosial. Perbuatannya itu melahirkan rasa tidak tenteram dalam kalangan orang ramai. Saya memohon hukuman setimpal memberi teladan dan pengajaran kepada masyarakat," katanya.

Tertuduh yang diwakili peguam Iwana Sakinah Mohd Lajis dalam rayuan mengakui kesal dan insaf atas perbuatannya itu serta memohon agar mahkamah memberikan hukuman denda paling ringan.

Portal berita Harian Metro pada 18 Januari lalu melaporkan, pekerja pasar raya bukan saja ditolak malah turut ditampar seorang pelanggan lelaki yang dipercayai tidak puas hati dengan pesanan ayam dibuatnya.

Berita berkaitan

Kono lompang pasal ayam [METROTV]

Tampar potong ayam

Disiarkan pada: January 25, 2018 @ 5:08pm
d