mutakhir

Pil kuda dadah paling banyak dilupuskan

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

POLIS Kelantan melupuskan dadah pelbagai jenis bernilai kira-kira RM200,000 di lapang sasar Pak Junoh, Rantau Panjang, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Superintendan Mit Emong berkata, dadah yang dilupuskan itu terdiri daripada jenis pil kuda, syabu, heroin, ketum, air ketum, erimin 5 dan ubat batuk.

Katanya, pelupusan itu hasil rampasan yang diperoleh pihaknya pada 2006 hingga tahun lalu yang membabitkan 1,155 kes yang sudah selesai proses perbicaraan di mahkamah.

"Pil kuda adalah bahan kes tertinggi yang dilupuskan iaitu sebanyak 1,698 gram (g), heroin (415 g), syabu (118 g) air ketum 58 liter dan daun ketum 530 kilogram.

"Barang kes ini adalah rampasan dari seluruh daerah di Kelantan sejak 12 tahun lalu, namun untuk beberapa tahun sebelum ini hanya membabitkan beberapa kes sahaja, selebihnya pada 2016 hingga 2017," katanya pada sidang media selepas melupuskan dadah di lapang sasar Pak Junoh.

Beliau berkata, pelupusan dadah adalah yang pertama dibuat tahun ini dan ia akan dilakukan setiap tahun selepas mendapat perintah mahkamah.

Menurutnya, tangkapan keseluruhan membabitkan pelbagai jenis dadah pada 2017 menurun iaitu sebanyak RM 11.96 juta berbanding tahun sebelumnya RM17.88 juta.

Katanya, pil kuda menjadi penyumbang tertinggi dalam nilai rampasan iaitu sebanyak RM5.9 juta pada 2017 berbanding RM15.9 juta 2016.

"Bagi dadah jenis heroin, rampasan berkurangan tahun lalu sebanyak RM352,549 berbanding tahun sebelumnya RM1.08 juta.

"Namun nilai rampasan daun ketum meningkat tahun lalu sebanyak RM297,135 berbanding tahun sebelumnya RM56,326," katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2018 @ 5:24pm
d