mutakhir

185kg daun ketum dirampas

Oleh Noorazura Abdul Rahman

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) berjaya merampas 185 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM17,575 yang cuba diseludup ke negara jiran serta menahan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam kes berasingan di Padang Terap hari ini.

Panglima Enam Briged, Brigedier Jeneral Abdul Azizi Ismail berkata, dalam kejadian pertama 8 pagi, Pasukan 5 Rejimen Sempadan (RS) di kawasan operasi Gubir Pos Batu 34 yang diketuai Leftenan Muda Muhamad Farid Mahfoz merampas daun ketum itu.

"Ketika kejadian anggota terbabit melihat tiga lelaki sedang menunggang motosikal dengan membawa guni menuju ke kawasan sempadan dalam keadaan mencurigakan.

"Apabila menyedari pasukan itu cuba menghampiri, mereka melarikan diri meninggalkan kenderaan masing-masing dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat daun ketum di dalam guni yang diikat di belakang motosikal berkenaan" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Azizi berkata, selain daun ketum , turut dirampas tiga botol berisi air ketum dengan nilai RM30 serta tiga motosikal membabitkan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM28,605.

Sementara itu, selang setengah jam kemudian, semasa rondaan bermotosikal pasukan sama diketuai Koperal Mohd Zamri Mustafa berjaya menahan seramai tujuh PATI warga Myanmar berusia 17 hingga 40 tahun.

"Ketika kejadian, pasukan terbabit melihat lima wanita serta dua lelaki sedang menyusup masuk ke negara ini melalui pagar sempadan.

"Apabila menyedari pasukan itu sedang menghampiri, mereka lari dan cuba bersembunyi di kawasan semak berhampiran, namun dengan kepantasan anggota berkenaan, kumpulan PATI itu berjaya ditangkap.

"Pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg komputer riba, dua beg tangan, lima telefon serta tiga alat pengecas mudah alih, peralatan mandi, pakaian, lima keping kad pengenalan Myanmar dan sekeping kad keahlian parti berserta ubat-ubatan," katanya.

Beliau berkata, barang rampasan dan PATI itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut.

"Pihak ATM akan terus meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan berikutan berjaya menumpaskan sebanyak tiga kes penyeludupan serta dua kes PATI pada minggu ini," katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2018 @ 6:19pm
d