mutakhir

Cubaan seleweng minyak masak gagal

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

SEBANYAK 3,485 paket minyak masak subsidi yang cuba diselewengkan kepada sebuah premis, berjaya dirampas pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Parit Buntar, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Perak Shamsul Nizam Khalil berkata, sekitar 9.30 pagi, pihaknya yang menerima maklumat awam dari pasukan risikan, segera menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah premis pemborong barang-barang kawalan seperti gula, minyak dan tepung (GMT) di Bagan Serai.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, sebuah lori yang membawa minyak masak dari sebuah syarikat pembungkus dari Selangor yang dijadualkan menghantar minyak terbabit ke Perlis, dikatakan keluar melalui susur keluar Alor Pongsu, Bagan Serai dan menghala ke lokasi kejadian untuk tujuan yang tidak pasti.

"Berdasarkan maklumat diterima, lori terbabit sepatutnya menghantar minyak berkenaan kepada pemborong di Perlis namun menyusur keluar melalui susur keluar Tol Alor Pongsu dan terus menuju ke sebuah premis di Bagan Serai.

"Curiga dengan tindakan pemandu lori itu, pihak kami segera ke premis terbabit dan membuat pemeriksaan menyeluruh.

"Pemeriksaan mendapati premis terbabit tidak membuat sebarang pesanan mengikut syarat ditetapkan dan sejumlah 205 kotak yang masing-masing mengandungi 17 bungkus minyak masak subsidi seberat 3,485kg, dirampas," katanya dalam satu sidang media di pejabat KPDNKK Parit Buntar, di sini, hari ini.

Menurutnya, jumlah nilai barangan rampasan berjumlah RM8,364 dan pemeriksaan terhadap invois pula mendapati premis terbabit ada menerima bekalan minyak masak sejumlah 8,500kg dari syarikat pembekal barang kawalan beralamat di Kamunting, Taiping namun premis terbabit tidak wujud.

"Hasil pemeriksaan ke atas invois itu mendapati premis terbabit tidak wujud di Kamunting, Taiping sebaliknya premis itu beroperasi di Bagan Serai dan menjalankan perniagaan runcit dan bukannya membekalkan barangan kawalan.

"Pihak kami masih lagi menjalankan siasatan menyeluruh termasuk merakamkan percakapan pemilik premis berusia 40-an serta seorang pekerja berusia 50-an.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 8(4) (B) Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2018 @ 8:15pm
d