mutakhir

Kuasai bahasa Inggeris

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Nilai: Kementerian Pendidikan dalam proses mengeluarkan sendiri buku teks mengikut standard The Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) bagi meningkatkan tahap penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Chong Sin Woon berkata, buat masa ini, kementerian sudah berhubung dengan penerbit buku tempatan untuk melancarkan proses itu.

Katanya, pihaknya kini menggunakan buku import disebabkan tiada buku mengikut standard CEFR di pasaran tempatan.

“Kami sedia maklum terdapat beberapa tentangan segelintir pihak terdiri daripada persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ibu bapa dengan mereka menyifatkan perkara itu seperti tergesa-gesa.

“Ada juga menyatakan ia mempengaruhi budaya, namun perlu difahami buku teks diimport tertumpu pada pembelajaran bahasa Inggeris dan bukannya mengajar mengenai moral atau pendidikan agama.

“Ia untuk menyelaras pembelajaran bahasa Inggeris supaya pelajar dapat berkomunikasi dan menguasai bahasa itu dengan lebih baik,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Khas Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Nilai dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kua Min, Nilai.

Pada majlis itu, SJKT Nilai menerima RM30,500 manakala SJKC Kua Min RM16,300 dengan setiap pelajar akan memperoleh RM100.

Dalam perkembangan lain, Chong mengingatkan pihak sekolah mematuhi pekeliling dikeluarkan Kementerian Pendidikan sejak 2001 berkaitan isu berat beg sekolah.

“Kami tidak mahu murid tahun satu membawa buku latihan luar yang secara langsung memberatkan beg mereka kerana buku teks dan latihan disediakan kementerian sudah mencukupi,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 3:25am
d