mutakhir

Pasang jaring di halaman rumah setiap kali bah

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Banjir kilat yang melanda Kampung Juntai di sini, menjadi sumber rezeki bagi segelintir penduduk yang memasang jaring di halaman rumah untuk menangkap ikan, semalam.

Penduduk, Khalid Jadid, 62, berkata, dia tidak ketinggalan memasang dua jaring di sekitar rumahnya untuk menangkap ikan selepas air Sungai Triang melimpah akibat hujan lebat.

“Sudah menjadi kebiasaan saya menangkap ikan setiap kali banjir berlaku di kampung ini.

“Saya hanya perlu memasang jaring dan akan memeriksa setiap setengah jam sekali.

“Banjir dijangka surut lewat petang ini (semalam), jadi masih sempat untuk saya melakukan aktiviti berkenaan,” katanya.

Khalid berkata, jika ada rezeki, dia mampu memperoleh pelbagai jenis ikan seperti lampam, puyu dan sembilang.

“Sungai Triang menjadi habitat ikan sungai yang diminati penduduk. Jika ada lebih, saya akan jual kerana ikan seperti ini sentiasa mendapat permintaan penduduk,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 4:17am
d