mutakhir

'Tiada apa lagi nak dibuang'

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Cheras: “Sudah tiada apa lagi yang nak dibuang. Semuanya sudah musnah akibat banjir sebelum ini,” luah Zainal Abidin Abu, 49, penduduk Kampung Batu 10 yang ditenggelami banjir sejak petang kelmarin.

Menurutnya, dia tidak tahan dengan situasi dialami apabila masalah banjir berlarutan sejak dia mendiami rumah itu enam tahun lalu.

“Rasanya sudah lebih 10 kali banjir menenggelamkan rumah ini. Kejadian paling dahsyat berlaku tahun lalu apabila air naik setinggi dua meter dan menenggelamkan sebuah kereta, van dan dua motosikal milik saya.

‎“Banjir di kampung ini tiada musim tertentu. Apabila hujan lebat berlaku lebih dari sejam, air banjir pasti akan melimpah memasuki kampung ini,” katanya.

Menurutnya, banyak perkakas rumah yang terpaksa dibuang kerana rosak setiap kali banjir berlaku.

“Banjir terbaru semalam membuatkan rumah saya benar-benar kosong. Tiada lagi barang yang nak dibuang selepas ini,” katanya.

‎Dia berkata, kejadian banjir pada 2017 antara yang memberi kesan paling buruk kepada keluarganya apatah ketika itu mereka sekeluarga mahu menyambut Aidilfitri.

‎“Saya sudah tidak tahan dan merancang untuk berpindah ke rumah lain. Setiap kali banjir, banyak barang elektrik dan perabot rumah rosak menyebabkan saya kerugian puluhan ribu ringgit.

‎“Selain kerugian itu, kami juga kepenatan kerana perlu mengemas dan membersihkan rumah setiap kali banjir. Malah, saya dan isteri tidak dapat menjalankan perniagaan kedai makan kami yang menjadi pendapatan utama keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 4:20am
d