mutakhir

Satu selamat, satu tenggelam

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: “Ini kali pertama rumah saya dinaiki air dan saya tidak menjangka perkara itu boleh berlaku.

“Pada mulanya saya langsung tidak peduli malah kami sekeluarga tidur seperti biasa sehingga ahli keluarga tersedar apabila melihat air sudah memasuki rumah,” kata Md Yusof Abu Hashim, 80, mangsa banjir kilat di Kampung Juntai di sini, semalam.

Katanya, air mula naik pada jam 1 pagi menyebabkan mereka sekeluarga kelam-kabut sebelum memindahkan barangan berharga ke tempat selamat.

“Saya mengalihkan Perodua Kancil ke jalan raya yang terletak 20 meter dari rumah. Namun, sebuah Proton Wira lagi tidak sempat dialihkan berikutan air naik dengan cepat.

“Air naik hingga paras pinggang dan saya mengarahkan ahli keluarga duduk di tempat tinggi dalam rumah.

“Lebih kurang jam 2 pagi, saya dan ahli keluarga diselamatkan pasukan penyelamat sebelum dibawa ke balai raya di kampung kami,” katanya.

Md Yusof berkata, keadaan banjir kali ini luar biasa dan kali terakhir kampung itu dilanda banjir pada November tahun lalu namun ia tidak membabitkan rumahnya.

Katanya, jarak rumahnya dari Sungai Triang kira-kira 200 meter dan dia percaya hujan lebat yang bermula petang kelmarin menyebabkan air sungai itu melimpah.

Seorang lagi mangsa, Titik Setiowati Warsono, 47, berkata, dia dimaklumkan kejadian banjir menerusi panggilan telefon rakannya pada jam 11 malam.

Katanya, ketika itu, dia tidur sebelum bangun melihat keadaan sebenar.

“Saya tengok air sudah memenuhi laman rumah dan segera mengejutkan suami supaya memindahkan kereta ke jalan raya,” katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati beberapa kenderaan milik penduduk ditenggelami air.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, seramai 28 penduduk daripada tujuh keluarga di kampung berkenaan dipindahkan ke balai raya bermula jam 2 pagi.

“Kerja memindah dan menyelamatkan mangsa turut dilakukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

“Mangsa ketika ini masih lagi di pusat pemindahan itu,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 4:36am
d