mutakhir

'Hero' bergayut dicekup

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Aksi bergayut di pencawang elektrik oleh seorang lelaki berusia 38 sambil memotong kabel berakhir apabila dia disergah dan ditahan polis yang membuat rondaan cegah jenayah di Paya Merah, Labis di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Superintendan Raub Selamat berkata, suspek warga tempatan itu disedari mencuri kabel di pencawang elektrik itu kira-kira jam 5 petang menggunakan peralatan dianggarkan seberat lebih tiga kilogram.

Katanya, ketika disergah anggota polis, suspek di ketinggian enam meter di pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diselenggara itu.

“Suspek sebenarnya bernasib baik kerana arus elektrik di pencawang itu dihentikan sementara waktu bagi memberi laluan kerja selenggaraan yang dilakukan pencawang berdekatan.

“Jika tidak dia pasti rentung kerana terkena renjatan elektrik ribuan voltan itu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Raub berkata, anggota polis terbabit turut merampas pelbagai peralatan seperti pemotong kabel dan gunting besar di dalam beg sandang lelaki berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan turut menemui puluhan kabel kabel elektrik yang dipotong sepanjang kira-kira 1.5 meter di dalam semak berdekatan yang dianggarkan bernilai RM1,200.

Katanya, suspek turut didapati menggunakan motosikal tanpa cukai jalan dan perlindungan insurans serta positif methamphetamine melalui saringan air kencing yang dijalankan.

“Suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 4:48am
d