mutakhir

Timbalan pengetua MRSM dan anak direman

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

TIMBALAN Pengetua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Kubu Bharu di sini, bersama anak lelakinya dan seorang individu lain direman tujuh hari mulai hari ini.

Ia bagi membantu siasatan berhubung penyalahgunaan kuasa dalam pemberian kerja pembekalan barangan keperluan pelajar kepada pihak berkepentingan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret P Sarulatha.

Suspek yang dibawa dari Putrajaya tiba di Mahkamah Majistret Shah Alam 10.30 pagi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketiga-tiganya ditahan 4.30 petang hingga 7.30 malam semalam, di pejabat SPRM Selangor mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Selain dua beranak itu, individu ketiga yang ditahan adalah pemilik sebuah syarikat berusia 40 tahun.

Sumber berkata, timbalan pengetua yang juga wanita berusia 48 tahun itu dipercayai menyalahgunakan kuasanya dengan memberikan kerja pembekalan barangan keperluan pelajar berjumlah RM79,000 secara rundingan terus.

Dia dikesan melakukan perbuatan itu tanpa mengikut prosedur ditetapkan antara 2016 dan 2017.

“Suspek didapati memberikan kerja pembekalan itu kepada anaknya yang berusia 24 tahun melalui sebuah syarikat yang dimiliki rakan anaknya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut terhadap ketiga-tiga suspek.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 12:02pm
d