mutakhir

Bila laporan siap?

Oleh Hayati Ibrahim

TINDAKAN kepada pihak yang menjual atau mengedar susu rumusan bayi tiruan akan diambil selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mendapat laporan akhir berhubung perkara berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ketika ini pihaknya sedang menunggu laporan akhir dari beberapa agensi dan jabatan lain.

"Apabila kita dapat laporan akhir kita akan buat pengumuman apa tindakan yang akan kita ambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

"Laporan akhir ini tidak semestinya datang dari satu agensi atau jabatan. Ini kerana siasatan yang kita lakukan membabitkan beberapa jabatan, jika sudah dapat dari Jabatan Kimia contohnya itu satu, kita kena pastikan dari jabatan lain seperti kesihatan dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dari segi paten," katanya sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran dan Advokasi Garis Panduan Pematuhan Standard Keselamatan Bateri Sekunder di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan yang sudah diambil terhadap penjual atau pengedar susu rumusan bayi tiruan seperti dilaporkan media bulan lalu.

Media pada 10 Disember lalu melaporkan KPDNKK Johor merampas 210 kotak susu rumusan bayi yang disyaki tiruan dalam serbuan ke lima premis kedai ubatan dan serbaneka di sekitar Johor Bahru, Johor.

Operasi Produk Tiruan itu dijalankan di premis di Iskandar Puteri, Mutiara Rini, Taman Orkid, Nusa Bestari dan Taman Daya, tiga daripada lima premis itu didapati menjual susu rumusan bayi (Langkah Satu) terbabit pada harga sama dengan yang asli.

Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM42,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011.

Berikutan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan pada 29 Disember memaklumkan hasil analisis Kementerian Kesihatan terhadap susu rumusan bayi yang dirampas di Johor mendapati produk itu selamat digunakan.

Beliau dipetik berkata, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan bekerjasama rapat dengan KPDNKK mengambil sampel produk yang dirampas kerana disyaki menggunakan cap dagangan tiruan untuk dianalisis.

"Sampel produk kemudiannya dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan bawah kementerian dan Jabatan Kimia Malaysia bagi mengesahkan keselamatan produk. Hasil analisis mendapati produk berkenaan adalah selamat," menurut laporan itu.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 12:26pm
d