mutakhir

Jumpa lepas solat Jumaat

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

PELAKON lelaki dipanggil untuk memberikan keterangan membabitkan kes melepaskan tembakan menggunakan senapang patah tanpa mempunyai lesen di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Parit Jerman, Sitiawan pada Julai 2016. 

Siasatan polis dilakukan terhadap Hairul Azreen Idris,30, dan bapa saudaranya berusia 70 tahun selepas video berdurasi 49 saat menunjukkan aksi juara Fear Factor Selebriti Malaysia musim pertama itu melepaskan dua das tembakan ke udara tular di Youtube sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, Hairul Azreen sudah mengesahkan untuk hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah selepas solat Jumaat hari ini.

Katanya, polis akan meneliti keterangan diberikannya sebelum memutuskan untuk menahan remannya bagi membantu siasatan kes berkenaan atau dibebaskan dengan jaminan polis.

Menurutnya, bapa saudara Hairul yang juga pemegang lesen senjata berkenaan sudah hadir ke IPD Perak Tengah semalam dan memberikan keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Hasil siasatan awal berdasarkan keterangan diberikan bapa saudaranya mendapati bapa saudaranya itu ingin menembak kera di ladang sawit di belakang rumahnya.

“Hairul yang ketika itu pulang ke kampungnya ingin mencuba senapang itu dengan melepaskan dua das tembakan ke udara dan aksi itu disaksikan beberapa ahli keluarga dan rakannya,” katanya pada sidang media di IPD Perak Tengah, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, bapa saudara Hairul yang juga berkerja sendiri di kampung sudah menjadi pemegang lesen senapang berkenaan sejak 40 tahun lalu.

Katanya, polis merampas senapang patah berkenaan dan 29 butir peluru dimiliki bapa saudara Hairul sehingga siasatan selesai.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41, Seksyen 8 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 12:52pm
d