mutakhir

Dua beranak ajal bersama

Oleh Essa Abu Yamin

LELAKI maut bersama bapanya selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabas ke dalam parit di Kilometer 4, Jalan Parit Karjo, Batu Pahat, 12.15 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Nissan X-Trail dipandu Lim Jhin Soon, 28, dari arah Senggarang ke Jalan Kluang hilang kawalan.

Katanya, tiba di tempat kejadian, tayar belakang sebelah kiri kenderaan itu pecah mengakibatkan pemandu gagal mengawal dan terbabas masuk ke dalam sungai di sebelah kiri.

"Akibat kemalangan berkenaan, pemandu dan bapanya Lim Eng Hok, 74, yang duduk di tempat penumpang hadapan lemas.

"Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk bedah siasat," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 5:02pm
d