mutakhir

Berkelana dekati rakyat

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

LEBIH 10,000 penerima memperoleh manfaat daripada penganjuran jelajah program UMNO Bantu Rakyat 2.0 anjuran Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM) di Sabah, berakhir hari ini.

Program selama enam hari bermula di Libaran, Sandakan itu turut singgah di Batu Sapi, Semporna, Tenom dan Beaufort sebelum berakhir di Kota Belud.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, program bermula dari 23 hingga 26 Januari itu adalah inisiatif kerajaan untuk mendekati dan membantu rakyat.

“Selain bantuan kit makanan dan barangan keperluan harian kepada keluarga yang memerlukan, BiKUM turut menyediakan bantuan pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPNi) kepada pelajar.

“Enam bahagian ini antara 71 bahagian yang dijelajahi sepanjang program UMNO Bantu Rakyat 2.0, inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi membantu rakyat di peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui pada program UMNO Bantu Rakyat 2.0 anjuran Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM) dengan kerjasama Biro Kebajikan UMNO Sabah dan UMNO Bahagian Kota Belud di Kota Belud, hari ini.

Majlis dirasmikan Ketua UMNO Kota Belud yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan hadir sama, Pengerusi BiKUM Sabah Datuk Jainab Ahmad Aib.

Dalam pada itu, Salleh dalam ucapannya berkata, kewujudan parti politik bukan untuk tujuan pilihan raya semata-mata sebaliknya berkhidmat kepada rakyat.

Ini kerana kata beliau, tiada guna ada parti jika tidak dapat membantu rakyat.

Katanya, banyak parti lain contohnya di Sabah, ditubuhkan hanya untuk pilihan raya semata-mata dan berlakon turun padang membantu rakyat tetapi selepas itu terus hilang.

“UMNO pula sebaliknya, sentiasa ada bersama dan membantu memberi khidmat yang terbaik untuk rakyat.

“Bantuan yang diberikan secara berterusan, justeru, rakyat perlu berhati-hati dan menilai semuanya secara keseluruhan.

“Saya percaya, jika parti dapat menterjemah semua itu, tiada sebab rakyat tidak akan menyokong Barisan Nasional dan UMNO,” katanya.

Sementara itu, pada program yang sama, Shamsul dan Jainab turut meluangkan masa menziarahi warga emas, Waitih Bayukan, 60, yang terlantar akibat angin ahmar di Kampung Mandap.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 5:03pm
d