mutakhir

Rezeki penggiat seni tunai umrah

Oleh Nursyahirah Marzuki

HANYA mengharapkan hasil jualan sate di pasar malam tidak mungkin membolehkan novelis terkenal, Baharuddin Buyung Kahar, 71, untuk menunaikan umrah.

Namun, siapa tahu aturan Allah itu lebih indah apabila namanya dipilih untuk mengikuti Program Umrah Penggiat Seni, hasil cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika meraikan penggiat seni pada majlis berbuka puasa di di Seri Perdana, Putrajaya, tahun lalu.

Baharuddin atau lebih dikenali dalam dunia sastera dengan nama Baharuddin Kahar adalah novelis terkenal tanah air yang pernah menghasilkan novel popular suatu ketika dulu berjudul Senjakala.

Senjakala juga pernah menjadi buku teks sastera wajib bagi pelajar untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1988 hingga 1992.

Penulis dari Persatuan Penulis Nasional (PENA) itu berkata, beliau terkejut dan gembira apabila menerima panggilan menyatakan namanya dipilih untuk mengerjakan umrah di bawah program berkenaan.

"Saya sangat gembira dan tidak sangka diberi peluang menunaikan umrah namun dalam kegembiraan tetap ada sedikit perasaan gentar kerana ini adalah pengalaman kali pertama.

"Kalau diikutkan, dengan pendapatan RM500 hingga RM600 sebulan, saya tidak mampu kerana sumber pendapatan itu perlu digunakan untuk menyara keluarga," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan 22 penggiat seni menunaikan umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Seramai 22 penggiat seni veteran dipilih menunaikan ibadah umrah termasuk pelawak, Hamid Gurkha, Sulaiman Yassin atau lebih dikenali sebagai Mat Over, penyanyi, Zaiton Sameon, Sahara Yaacob dan Shima.

Majlis itu disempurnakan Penasihat Perdana Menteri merangkap Pengerusi Yayasan Perdana Ummah (YPU) Datuk Rizal Mansor.

Baharuddin berkata, segala persiapan dibuat sebaik saja mengetahui berita berkenaan dan beliau tidak terlalu bersedia kerana panggilan suci itu datang secara tiba-tiba.

"Saya sempat menghadiri kursus umrah dua kali bersama rakan dan selebihnya saya membaca buku panduan cara pelaksanaan ibadah sebagai persediaan tambahan.

"Persiapan saya masih tidak mencukupi tetapi saya yakin dapat melaksanakan umrah dengan lancar sambil dibantu petugas yang ada bersama kami," katanya.

Sementara itu, Rizal berkata, pada perancangan awal pihaknya cuba membawa lebih ramai penggiat seni tetapi terdapat beberapa kekangan lain yang sukar diatasi.

"Program ini sepatutnya dilaksanakan pada akhir tahun lalu, namun tarikhnya dianjak kepada bulan ini atas nasihat daripada pihak ejen untuk memberi keselesaan kepada jemaah.

"Bagaimanapun, saya berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memberi peluang kepada penggiat seni lain mengerjakan ibadah berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 5:17pm
d