mutakhir

Nelayan Vietnam dengan hasil tangkapan RM1.5j ditahan

Oleh Rosli Ilham

DUA bot termasuk sebuah milik nelayan Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Kemaman, Chukai pada petang semalam.

Kedua bot berkenaan didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 ketika pemeriksaan dijalankan hasil Ops Perkasa Timur.

Bot pertama milik nelayan Vietnam ditahan kira-kira 62 batu nautika dari Kuala Kemaman pada 3.50 petang dan pemeriksaan terhadapnya terdapat 15 awak-awak termasuk tekong yang berusia 15 hingga 48 yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Pemeriksaan lanjut juga mendapat bot berkenaan tidak mempunyai sebarang permit untuk menangkap ikan di kawasan perairan negara ini.

Siasatan mendapati bot berkenaan sudah beberapa hari melakukan aktiviti menangkap ikan di dalam kawasan perairan negara ini.

Timbalan Pengarah Maritim Wilayah Maritim Timur (Operasi) Kapten Maritim V Pannir Selvan berkata, bot kedua yang ditahan kira-kira 15 minit kemudian tidak jauh dari lokasi bot nelayan Vietnam menangkap ikan di kawasan itu dikenal pasti milik nelayan tempatan.

Menurutnya, pemeriksaan terhadapnya mendapati lesen bot itu agak mencurigakan dan menyebabkan lima awak-awak dan tekongnya yang berusia 21 hingga 36 tahun terpaksa ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kedua-dua bot terbabit bersama kesemua awak-awak dan tekongnya dibawa ke Pangkalan Maritim Kemaman untuk disiasat," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut merampas hasil tangkapan kedua-dua bot terbabit yang dianggarkan seberat 4,500 kilogram membabitkan nilai rampasan hampir RM1.5 juta.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 8:15pm
d