mutakhir

Betul-betul tidur 'mati'

Oleh Siti Nadzirah Che Mud

DUA lelaki yang sedang tidur dalam sebuah kereta rosak di tepi jalan ditahan polis selepas menemui peralatan menghisap dadah dan sebiji pil disyaki dadah di Mengkebang, Kuala Krai, hari ini.

Kejadian 11.30 pagi itu, polis turut menemui dua ekor kambing berada dalam but Proton Iswara dinaiki dua lelaki berusia 21 dan 30 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning berkata, penduduk melihat dua lelaki sedang tidur dalam keadaan mencurigakan sebelum menghubungi polis.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, anggota polis cuba mengejutkan dua lelaki itu namun mereka terus tidur.

"Polis membuat pemeriksaan dan menemui dua kambing yang diikat berada dalam but kereta.

"Anggota kita kemudian menggari mereka yang masih tidur," katanya, hari ini.

Abdullah berkata, polis mengambil masa beberapa minit untuk mengejutkan dua lelaki itu sebelum mereka tersedar dan meronta untuk melarikan diri.

Menurutnya, pemeriksaan dalam kereta menemui alat disyaki untuk menghisap dadah dan sebiji pil dalam beg sandang suspek pertama.

"Dua lelaki itu ditahan kerana memiliki dadah. Hasil soal siasat, mereka mendakwa mengambil kambing itu daripada seorang lelaki di Kadok, Kota Bharu.

"Setakat ini kita belum menerima laporan berhubung kecurian haiwan dan masih menjalankan siasatan lanjut sama ada kambing itu dicuri atau sebaliknya," katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 11:31pm
d