mutakhir

Berek tak cukup!

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Terdapat seramai 130,000 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini namun hanya 80,000 kakitangan terbabit mendapat kemudahan kediaman berek.

Kekurangan jumlah berek ini menyebabkan baki 50,000 lagi kakitangan PDRM terpaksa menyewa atau mencari kediaman sendiri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyediakan kediaman anggota polis di kawasan kos sewa rumahnya tinggi.

Katanya, usaha itu melambangkan keprihatinan kerajaan kepada anggota polis serta keluarga mereka.

“Kita mahu anggota polis dan keluarga masing-masing berada dalam keadaan baik kerana mereka adalah barisan hadapan keselamatan dalam negara,” katanya selepas melawat Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, semalam.

Turut mengiringi beliau adalah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Hadir sama, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim dan KSU Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Selain itu kerajaan akan menaik taraf dan memperbaiki kediaman dan berek PDRM selaras dengan Dasar Perumahan Negara 2.0.

“Sebagai permulaan semua 15 blok di Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras akan dibaik pulih dengan peruntukan berjumlah RM13 juta.

“Keperluan asas kediaman anggota PDRM perlu ikut Dasar Perumahan Negara 2.0 iaitu menambah dua bilik kepada tiga bilik.

“Selain itu, kemudahan pusat ibadah seperti masjid dan surau selain kemudahan rekreasi juga perlu ditambah baik di setiap perumahan polis,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, sudah meminta Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Zulkifli Abdullah melihat semua PGA memerlukan penambahbaikan untuk kerajaan menyalurkan peruntukan khas.

Katanya, KDN juga sudah memohon peruntukan bagi membolehkan lebih banyak kediaman anggota polis dinaik taraf.

“Berek sedia ada memang tidak mencukupi. Kita ada lebih 130,000 anggota, tetapi bilangan berek hanya 80,000 unit. Menerusi peruntukan tambahan, proses penambahbaikan akan dibuat secara berperingkat,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kebajikan anak pegawai dan anggota polis, Ahmad Zahid berkata Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dibina di kawasan Bagan Datok, Perak akan dikhaskan untuk anak kakitangan PDRM sahaja.

Disiarkan pada: January 27, 2018 @ 4:19am
d