mutakhir

Harap kaji semula

Oleh M Thilinadan

New Delhi: Kerajaan India pimpinan Narendra Modi memberi jaminan akan mengkaji semula keputusannya sebelum ini untuk menaikkan duti import minyak sawit mentah Malaysia daripada 15 peratus kepada 30 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kenaikan itu tinggi dan beliau meminta kerajaan India mengkaji semula kadar berkenaan kerana ia akan memberi kesan kepada eksport minyak sawit mentah Malaysia.

“Dalam pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Modi sebentar tadi, saya bangkitkan isu duti minyak sawit, selain kenaikan duti minyak kacang soya, minyak bunga matahari, namun kenaikan duti minyak sawit adalah tinggi.

“Jadi, saya minta kerajaan India lihat semula kadar kenaikan itu. Ini akan beri kesan kepada eksport sawit kita kerana India pembeli kedua terbesar minyak sawit Malaysia,” katanya di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Kesihatan yang juga Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Tahun lalu, kerajaan India mengumumkan menaikkan duti import minyak sawit mentah kepada 30 peratus daripada 15 peratus. India mengimport 2.5 juta tan minyak sawit mentah dari Malaysia tahun lalu.

Pada sidang media sama, Najib mengumumkan IJM Corporation Bhd dianugerahkan projek pembinaan lebuh raya baru di India bernilai AS$350 juta (RM1.4 bilion).

“Perdana Menteri Modi juga memberi jaminan akan terus mempertimbangkan syarikat Malaysia untuk membina lebih banyak lebuh raya di India. Ini perkembangan menggalakkan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau juga memaklumkan kerajaan secara serius mengkaji untuk menganugerahkan projek pembinaan laluan kereta api menghubungkan Seremban-Pelabuhan Klang kepada syarikat India, IRCON.

“Bagaimanapun, kita tetapkan syarat iaitu tawaran itu boleh diterima kedua-dua pihak. Rundingan susulan akan dilakukan,” katanya.

Selain itu, Najib berkata, pilihan raya adalah masa setiap rakyat yang layak dan berdaftar menjadi pengundi, mengundi untuk menentukan kerajaan pilihan mereka.

Beliau berkata, dalam sistem demokrasi, semua orang ada hak menggunakan kuasa seperti ditetapkan dalam Perlembagaan Malaysia dan perlu menggunakannya dengan betul.

“Kita tidak boleh berkempen secara negatif. Dalam demokrasi semua ada hak untuk menggunakan kuasa mereka,” katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2018 @ 4:30am
d