mutakhir

Sekilo RM200!

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Menternak ikan kelah bukan tugas mudah kerana semua orang tahu ikan jenis itu amat sensitif dan mudah mati jika tidak menjaganya dengan baik.

Penternak ikan, Mat Nawi Hussin, 58, ketika ditemui di Kampung Lepan Jaya berkata, berbekalkan pengalaman selama 28 tahun dalam bidang itu memberi kelebihan kepadanya cara untuk menjaga ikan kelah.

Katanya, memelihara ikan kelah memberi pulangan lumayan kepadanya sekitar RM3,000 sebulan kerana harganya yang tinggi iaitu RM200 sekilogram.

“Kini saya mempunyai lapan kolam yang dibuat di atas tanah seluas satu hektar dengan bilangan ternakan ikan kelah sebanyak 14,000 ekor.

“Daripada jumlah itu, 4,000 ekor ikan kelah seberat satu kilogram, manakala 10,000 ekor lagi masih kecil dan dijangka boleh dipasarkan enam bulan lagi,” katanya.

Mat Nawi berkata, ikan kelah mendapat permintaan tinggi di luar Kelantan termasuk Kuala Lumpur, Pahang serta Johor Bahru kerana ia spesies terkenal dan harganya sangat mahal.

Menurutnya, kolam ikan kelah perlu dibuat secara halus termasuk benteng sempurna dan menukar saluran kolam air yang lebih jernih bagi mengelakkan ia mati.

“Saya bercadang menubuhkan pusat pembenihan ikan kelah pertama di Kelantan dalam masa terdekat demi memelihara spesies ikan itu.

“Namun, saya memerlukan perbelanjaan tinggi sekitar RM200,000. Saya akan berbincang dengan agensi kerajaan yang berkaitan bagi tujuan itu supaya dapat sedikit modal tambahan,” katanya.

Mat Nawi berkata, pada masa sama, dia turut memelihara 56,000 ekor tilapia, patin, keli dan tongsang yang turut mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Disiarkan pada: January 27, 2018 @ 4:40am
d