mutakhir

RM10,000 bina muzium

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Nerang: Tidak mahu generasi masa kini lupa dengan kehidupan masyarakat masa lalu menghasilkan beras daripada padi membuatkan penduduk Kampung Bendang Raja di sini, mengambil inisiatif membina muzium mini padi.

Muzium yang mula beroperasi pada 2007 itu menempatkan pelbagai peralatan pertanian tradisional sehingga masa kini dan sering menjadi tumpuan pelancong termasuk pasangan pengantin yang ingin merakamkan gambar kenangan terindah mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bendang Raja Hambali Ahmad berkata, tercetusnya pembinaan muzium berkenaan bermula apabila kampungnya memenangi Pertandingan Keceriaan Kampung Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan pada 2007 Peringkat Daerah Padang Terap.

Menurutnya, hasil kemenangan wang RM10,000 inilah yang digunakan untuk membeli bahan membina sebuah muzium mini padi yang menempatkan pelbagai jenis barangan dan peralatan lama yang ada kaitan dengan industri penanaman padi.

“Tujuannya hanya bagi memastikan generasi masa kini dan akan datang dapat melihat secara dekat dan menghayati kaedah serta kaitannya dengan kehidupan masa lalu mengenai industri yang sangat penting berkaitan makanan utama negara iaitu nasi yang dihasilkan melalui penanaman padi.

“Muzium ini dibina menerusi konsep gotong-royong oleh komuniti setempat sehingga ia disiapkan sebelum diisi dengan peralatan lama untuk tatapan pelawat hasil sumbangan penduduk,” katanya.

Hambali berkata, gabungan reka bentuk dan senibinanya berasaskan konsep tradisional dan moden dibuat bagi melahirkan ketenangan serta kedamaian buat pengunjung.

“Sejak ia dibuka secara percuma, ramai orang datang ke sini, malah menjadi tumpuan pada musim tertentu terutama ketika majlis kenduri kahwin apabila pasangan pengantin merakamkan detik indah mereka di sini.

“Selain itu, setiap barangan yang terdapat dalam muzium ini mempunyai kaitan dan pengertian tersendiri sama ada dari sudut sejarah, fungsi atau usianya,” katanya.

Kata beliau, pihaknya juga merancang aktiviti sepanjang tahun di situ bertujuan merapatkan hubungan antara masyarakat dan menjadi acara tetap yang diadakan secara mingguan, bulanan, tahunan dan dwi tahunan.

“Antara aktiviti yang diadakan termasuk permainan wau selepas selesai musim menuai padi, program Jom Ngail Puyu dan lain-lain lagi.

“Muzium ini bukan milik sesiapa, tetapi ia milik semua penduduk Kampung Bendang Raja dalam usaha mengekalkan warisan pusaka bangsa,” katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2018 @ 5:19am
d