mutakhir

Al-Kahfi penutup hayat

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: Surah al-Kahfi menjadi bacaan terakhir Prof Dr Che Noraini Hashim, 57, apabila beliau menghembuskan nafas terakhir sebaik selesai menunaikan solat Zuhur di rumah keluarga suaminya di Kampung Bukit Losong di sini, kelmarin.

Che Noraini yang juga pensyarah Kuliah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak meninggal dunia dalam keadaan bertelekung apabila dia tiba-tiba rebah di sejadah jam 3.45 petang.

Lebih memilukan apabila arwah yang juga isteri Ahli Dewan Undangan Negeri Ladang Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi meninggal dunia selepas 15 minit ibu saudaranya, Rokiah Abdullah, 70, menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.30 petang di rumahnya di Kampung Bukit Losong, di sini.

Syed Azman berkata, arwah isterinya pergi dalam suasana cukup mudah dan pada hari mulia. Dia menghembuskan nafas terakhir selepas selesai solat dan membaca surah al-Kahfi.

“Dia tidak ada sebarang penyakit dan pemergiannya sangat mengejutkan tetapi kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya, semalam.

Menurutnya, isterinya yang bertugas di UIAM, Gombak pulang ke Terengganu jam 7.30 pagi kelmarin untuk menziarahi ibu saudara yang dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, kerana sakit tua.

Beliau berkata, sebaik tiba, arwah bersamanya terus ke HSNZ jam 9 pagi dan pulang ke rumah keluarga di kampung berkenaan untuk berehat selepas dimaklumkan ibu saudaranya dibenarkan keluar pada hari berkenaan.

Bagaimanapun, tidak beberapa lama berada di rumah, dia dimaklumkan wanita terbabit nazak dan menghembuskan nafas terakhir di rumahnya.

“Berita itu mengejutkan dan kami bercadang menziarahi jenazah selepas arwah selesai menunaikan solat Zuhur.

“Bagaimanapun, hasrat arwah menatap ibu saudara kali terakhir tidak kesampaian apabila dia turut ‘mengiringi’ pemergian ibu saudaranya,” katanya.

Syed Azman berkata, jenazah isteri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Losong Panglima Perang, di sini, jam 9 pagi semalam.

Kira-kira 200 ahli keluarga, saudara mara, orang kenamaan serta pemimpin setempat menghadiri majlis pengebumian itu.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria.

Ahmad Razif turut menunaikan solat jenazah yang diimamkan Syed Azman sebelum mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.

Disiarkan pada: January 28, 2018 @ 6:24am
d