mutakhir

Tak bincang pasal kerajaan campuran

Oleh Muhamaad Razis Ismail

PAS tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan dengan sebarang pihak untuk mewujudkan kerajaan campuran, sama ada sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS mempunyai strategi sendiri bersama Gagasan Sejahtera (GS) untuk menghadapi pilihan raya di sebarang kawasan bakal ditandingi.

“PAS menegaskan sebarang pandangan atau ulasan yang dibuat individu sama ada di luar mahupun dalam PAS yang membawa maksud kononnya wujud atau akan wujud kerajaan campuran antara PAS dengan Barisan Nasional adalah bersifat peribadi. Ia tidak mewakili pandangan PAS dan GS.

“Kita juga mengesahkan sekali lagi tiada perbincangan atau keputusan di mana-mana peringkat parti untuk menubuhkan kerajaan campuran itu dalam konteks PRU-14 sama ada sebelum mahupun selepas pilihan raya," katanya dalam kenyataan di Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, PAS tetap mengekalkan amalannya mendapatkan persetujuan daripada ahli sebelum membuat keputusan penting.

“Sebelum sebarang keputusan penting dibuat termasuk isu kerjasama atau tahaluf siyasi dengan mana-mana pihak, kita akan mendapatkan persetujuan dengan ahli terlebih dahulu melalui Muktamar Khas sebelum ia disahkan Majls Syura Ulamak dari sudut kepatuhan syarak,” katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2018 @ 6:32pm
d