mutakhir

Maut terkena renjatan elektrik

Oleh Mohd Hasbi Sidek

LELAKI warga emas maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengorek lubang dekat Jalan Pandan Indah Prima 5, Taman Pandan Indah Prima, dekat Ampang, petang tadi.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, mangsa Lee Bong Yang, 61, dikatakan sedang melakukan kerja penyelenggaraan membabitkan elektrik di rumah di lokasi.

‎Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan 4.31 petang.

‎"Kami menerima panggilan khidmat khas kemanusiaan di mana seorang lelaki terperangkap di dalam lubang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah bergegas ke lokasi.

‎"Sebaik tiba pasukan mendapati seorang lelaki tidak sedarkan diri dalam lubang sedalam hampir 0.5 meter," katanya.

‎Beliau berkata, pihaknya berjaya mengeluarkan lelaki berkenaan beberapa minit kemudian sebelum ambulans yang berada di lokasi mengesahkan mangsa maut.

‎"Lelaki berkenaan meninggal dunia dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja penyelenggaraan.

‎"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2018 @ 8:58pm
d