mutakhir

Amy terbelit cinta Morgan

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Terpedaya dengan cinta alam maya, seorang wanita bukan saja kerugian RM40,000, malah hidup dalam ketakutan akibat diugut kekasih gelap yang ingin menyebar gambar bogelnya.

Pembantu kerani berasal dari Taman Meru Jaya, di sini, yang mahu dikenali Amy, 24, itu berkata, dia berkenalan dengan individu yang menggunakan nama Morgan Deavour Andrew, 35, melalui WeChat September lalu.

Menurutnya, pada awal perkenalan, mereka hanya berbual menggunakan aplikasi berkenaan sebelum menjadi semakin rapat hingga berhubung melalui telefon dan juga WhatsApp.

“Lelaki berkenaan mendakwa berasal dari Amerika Syarikat (AS) dan bekerja sebagai jurutera sivil serta mempunyai ibu yang menghidap hepatitis B dan sakit buah pinggang.

“Hubungan kami menjadi semakin rapat selepas tiga bulan berkenalan di alam maya dan pada November lalu, lelaki itu memberitahu dompetnya hilang serta ingin meminjam wang, termasuk kononnya untuk rawatan ibunya,” katanya di sini, semalam.

Amy berkata, dia beberapa kali memasukkan wang membabitkan jumlah kira-kira RM24,000 ke dalam akaun bank milik seorang wanita tempatan diberikan lelaki berkenaan dan lelaki itu turut berjanji ingin membuat pelaburan di Malaysia dengan membeli rumah atas namanya.

“Pada 18 Januari lalu, lelaki itu menghantar mesej mengatakan ditahan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana membawa wang tunai yang banyak dan memerlukan RM3,500 untuk dibebaskan.

“Lelaki itu meminta RM11,500 lagi kononnya denda bagasi yang dibawa serta cukai sebelum saya memasukkan RM15,000 yang dipinjam daripada seorang rakan ke dua akaun juga milik wanita tempatan yang diberikan lelaki berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian bergegas ke KLIA untuk membuat semakan namun dimaklumkan tiada kes sedemikian sebelum lelaki berkenaan menghubunginya meminta RM12,000 lagi.

“Saya mengatakan tiada lagi duit dan lelaki itu ugut ingin menyebarkan gambar bogel saya kerana saya ada menghantar dua gambar dalam keadaan tidak berpakaian kepadanya selain turut membuat panggilan video ketika berada dalam keadaan sama,” katanya.

Amy berkata, lima bulan berkenalan dia hanya berbual dalam laman sosial dan melalui telefon serta membuat panggilan video.

“Ketika membuat panggilan video, paparan skrin lelaki terbabit hanya gelap dan nombor telefon digunakan dipercayai berdaftar di Australia.

“Saya tidak sangka boleh diperdaya sebegini dan menyesal serta bimbang gambar atau video saya akan tersebar dan harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan,” katanya yang turut membuat dua laporan polis pada 13 dan 22 Januari lalu,” katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2018 @ 1:12pm
d