mutakhir

Projek 'emas' Bagan Datuk

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Bagan Datuk: Sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dijangka membuka kilang pemasangan kenderaan berat di daerah ini, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sudah mengadakan rundingan dengan Sime Darby selaku pemilik tanah seluas 160 hektar sebagai lokasi kilang berkenaan.

“Sebuah kilang memasang trak dan lori akan dibina di sini, sekali gus membuka kira-kira 4,000 peluang pekerjaan dengan keutamaan akan diberikan kepada penduduk Bagan Datuk.

“Anak-anak muda Bagan Datuk mesti menyahut cabaran ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Sungai Tiang Darat di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut memberi manfaat kepada bakal lepasan Politeknik Bagan Datuk dan Kolej Komuniti Bagan Datuk.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya menetapkan sasaran 500 inap desa disediakan di seluruh daerah itu berbanding 200 inap desa yang terdapat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup ketika ini.

“Ia (inap desa) mencukupi untuk pelancong yang datang ke Bagan Datuk untuk menginap kerana di sini tidak mempunyai banyak hotel dan mereka (pelancong) menginap di luar Bagan Datuk,” katanya.

“Inap desa perlu perlu diubah suai sekurang-kurangnya mempunya sebuah bilik dengan dilengkapi bilik air dan penghawa dingin. Ia akan memberi tambahan pendapatan kepada orang kampung. Kalau dulu RM50 (harga inap desa) tetapi sekarang lebih RM50,” katanya.

Beliau turut mengumumkan pembinaan Hotel Seri Malaysia yang bakal dibina di daerah itu dengan menyediakan 200 hingga 250 bilik.

Disiarkan pada: January 29, 2018 @ 1:21pm
d