mutakhir

Mohon bicara terhadap tiga pertuduhan

Oleh Murni Wan Omar

ISTERI kepada pemilik sebuah pusat kebajikan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya menggunakan kekerasan jenayah bagi mencabul dua kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dan 11 tahun.

Tertuduh Khairul Bariah Mian, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas ketiga-tiga pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Khairul Bariah didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan rakan sejenayahnya Zahari Alwi, 56, dengan maksud mencabul kehormatan kanak-kanak berusia 11 tahun itu.

Kesalahan didakwa berlaku di ruang tamu sebuah rumah di Taman Seri Keramat serta sebuah rumah di Taman Keramat pada waktu malam dan sekali lagi pada 5 petang Disember 2015 lalu.

Khairul Bariah turut didakwa atas pertuduhan sama bersubahat dengan Zahari menggunakan kekerasan jenayah bagi mencabul kehormatan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di ruang tamu sebuah rumah di Taman Seri Keramat pada 2016 lalu.

Bagi semua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 354 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Majistret Haslinda A Raof membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mac ini untuk sebutan semula.

Disiarkan pada: January 29, 2018 @ 1:23pm
d