mutakhir

Padah berlagak polis [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

PEKERJA kedai makan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas tiga pertuduhan termasuk memiliki senjata api tiruan di sebuah kafe di Bercham, Ipoh, minggu lalu.

Tertuduh Lew Soon Aun, 47, didakwa membawa senjata atau amunisi tanpa lesen atau permit yang dibenarkan pada 7.30 malam, 23 Januari lalu.

Kesalahan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Bagi pertuduhan kedua, Soon Aun didakwa memiliki senjata tiruan pada tarikh, waktu serta tempat sama, dan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 36 akta sama.

Soon Aun turut didakwa mengikut Seksyen 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal mempamerkan kad pengenalan diri apabila diminta oleh pegawai polis ketika ditahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) E Seeralasittan mengaku bersalah terhadap pertuduhan pertama serta kedua, dan memohon bicara bagi pertuduhan ketiga.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras di hadapan Majistret Siti Salwa Ja'afar.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh, namun tertuduh memohon jaminan kerana menghidap penyakit darah tinggi.

Siti Salwa kemudian mengarahkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Februari ini bagi sebutan semula kes.

Harian Metro pada 24 Januari lalu melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas didapati memiliki pistol tiruan serta gari dan mengaku sebagai polis Singapura di sebuah kafe di Bercham, Ipoh.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, lelaki itu didapati menyelitkan pistol tiruan serta gari di tali pinggangnya.

Lelaki itu yang ditahan selepas berlaku pergelutan dengan polis turut mengaku sebagai anggota polis di Singapura dan memiliki kad pengenalan Singapura yang digantung di lehernya.

Disiarkan pada: January 29, 2018 @ 1:47pm
d