mutakhir

'Apabila ajal menjemput...'

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PEMANDU dan kelindannya maut selepas lori membawa muatan makanan segera dinaiki mereka melanggar sebuah lori lain di Kilometer 95.6 Lebuhraya Pantai Timur, Temerloh, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian pada 1 pagi, pemandu lori Abdul Rahman Mohamad, 30, dan kelindan Zulfirdaus Othman, 28, maut di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Temerloh Superintendan Zundin Mahmood berkata, siasatan awal mendapati lori dinaiki mangsa dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur dipercayai dipandu laju sebelum pemandunya gagal mengawal kenderaan lalu melanggar bahagian belakang lori lain di depan mereka.

“Akibat pelanggaran itu, mereka meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa iaitu pemandu lori lain Asmar Rani Omar, 47, tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, dua mangsa yang meninggal dunia terpaksa dikeluarkan oleh anggota bomba selepas tersepit di bahagian hadapan lori itu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: January 29, 2018 @ 2:12pm
d