mutakhir

Banyak sangat sambungan elektrik

Oleh Nursyahirah Marzuki

PENGGUNAAN elektrik yang berlebihan dipercayai menjadi punca kebakaran di unit pangsapuri kuarters penjawat awam di Presint 16, Putrajaya kira-kira 9 malam tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, hasil siasatan awal pihaknya itu mendapati pemilik rumah menggunakan sambungan elektrik yang banyak sehingga berlaku percikan api dan merebak ke bahagian lain.

"Nasib baik kebakaran berlaku di tingkat empat. Sekiranya berlaku di tingkat yang lebih tinggi terutama melebihi 10 tingkat, proses pemadaman akan menjadi lebih sukar kerana sistem pancur basah (wet riser) di dalam bangunan ini tidak berfungsi.

"Pancur basah yang berfungsi boleh digunakan terus untuk memadam kebakaran kerana mempunyai air tetapi sistem ini rosak dan pihak bomba perlu pam dari kenderaan bomba." katanya ketika ditemui selepas melawat lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, bangunan berkenaan perlu mempunyai sistem pancur basar yang boleh berfungsi dengan baik terutama kepada bangunan yang melebihi 10 tingkat.

"Mungkin ada masalah dari segi penyelenggaraan kerana pancur basah tidak berfungsi semasa anggota bomba melaksanakan proses pemadaman.

"Sistem ini perlu berfungsi dan dijaga dengan baik. Sekiranya gagal, ia akan menjadikan proses pemadaman api lebih sukar terutama di tingkat yang lebih tinggi," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, satu unit pangsapuri kuarters penjawat awam di Presint 16 terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya Che Shaari Abdullah dilaporkan berkata, seramai 23 pegawai dan anggota bersama empat kenderaan bomba tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

Sebaik tiba di lokasi, didapati bilik tidur utama di unit pangsapuri yang berada di tingkat empat itu terbakar dan kerja pemadaman api dilakukan menggunakan dua saluran hos air iaitu satu saluran ke dalam bangunan, manakala satu lagi pancutan dari luar.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya 9.35 malam.

Berita berkaitan

Mulianya hatimu jiran

Pangsapuri terbakar [METROTV]

Disiarkan pada: January 29, 2018 @ 3:20pm
d