mutakhir

Simbah petrol, bakar Mercedes pegawai kastam

Oleh Nursyahirah Marzuki

PECAHKAN cermin kereta Mercedes Benz dan simbah petrol sebelum membakar kenderaan berkenaan sehingga merebak ke tiga kereta lain.

Itu hasil analisa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terhadap kejadian empat kereta dibakar di hadapan rumah Penolong Kanan Pengarah Kastam (Bahagian GST) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Presint 11, Putrajaya, Selasa minggu lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, punca kebakaran berkenaan sudah dikenal pasti sebagai perbuatan jenayah.

"Kita dapati terdapat serpihan kaca dijumpai di dalam kereta yang menunjukkan suspek memecahkan salah satu cermin tingkap kereta berkenaan sebelum membakar kenderaan itu.

"Bagaimanapun, apabila ia berlaku atas perbuatan jenayah, siasatan lanjut akan dijalankan pihak polis untuk membuat tangkapan dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan ke apartmen kuaters penjawat awam yang terbakar di Presint 16, di Putrajaya, hari ini.

Pada 23 Januari lalu, empat kenderaan di hadapan rumah pegawai Kastam itu terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa Nor Azman Mat Jini, 59, isteri, Noor Hayati Khairuddin, 57, serta anak perempuan dan menantu serta dua cucu sedang tidur di tingkat atas dan bawah kediaman berkenaan.

Dua kenderaan iaitu Perodua MyVi dan Mercedes Benz milik anak perempuan dan isteri mangsa musnah sepenuhnya, manakala dua lagi iaitu Honda CRV milik mangsa dan Proton Saga milik menantu mangsa terbakar di bahagian depan.

Disiarkan pada: January 29, 2018 @ 3:41pm
d