mutakhir

'Budak-budak baru nak up' [METROTV]

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

AKSI pergaduhan sekumpulan remaja dan pelajar sekolah menengah di kawasan Piazza Harbour Square, Sandakan, menjadi tular di laman sosial Facebook, sejak semalam.

Video berdurasi 52 saat itu dimuat naik menerusi akaun Facebook seorang individu sebelum dikongsikan pengguna lain sehingga mendapat tontonan lebih 10,000 netizen pada 12 tengah malam.

Namun video berkenaan dipercayai sudah dipadam pagi tadi.

Dalam rakaman itu didapati sekumpulan lima remaja berpakaian biasa dan baju sekolah menengah mengejar lalu menumbuk seorang remaja lelaki yang turut memakai pakaian uniform sekolah menengah di tengah jalan raya.

Pergaduhan itu juga mendapati seorang lagi individu mengejar dan memukul dua pelajar lengkap berpakaian sekolah.

Selepas itu, kelihatan lebih 20 remaja lelaki tiba-tiba datang mengerumuni kumpulan yang bergaduh sehingga dua remaja lelaki dalam kumpulan itu terjatuh di jalan raya.

Akibat pergaduhan itu, orang ramai terkejut dan menjerit supaya ia dihentikan.

Tidak lama selepas itu, pergaduhan itu berjaya dileraikan.

Difahamkan, pergaduhan itu membabitkan dua kumpulan remaja lelaki termasuk pelajar sekolah menengah yang berlaku pada Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek ketika dihubungi hari ini mengesahkan siasatan lanjut sedang dilakukan.

"Kita akan menjalankan pemeriksaan lanjut berhubung rakaman video berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2018 @ 4:04pm
d