mutakhir

Sambut baik penarikan larangan bertudung

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

PERSATUAN Hotel Malaysia Kuala Lumpur (MAH KL) menyambut baik tindakan 13 hotel di Semenanjung yang menarik balik penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung.

Pengerusinya, Shirley Lai berkata, beliau menghormati keputusan itu termasuk seperti yang diumumkan MAH pada 17 Januari lalu untuk menggesa semua pengusaha hotel di bawah persatuan itu tidak menetapkan sebarang dasar melarang pemakaian tudung di tempat kerja.

"Kita adalah satu persatuan, jadi sudah tentu apa saja yang diputuskan di peringkat ibu pejabat kita setuju dan sokong.

"Saya tidak boleh ulas lanjut mengenai isu ini tetapi MAH KL yang mempunyai 177 ahli akan mengikut apa saja pendirian yang dinyatakan MAH pusat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis sumbangan kebajikan bernilai RM40,000 kepada dua rumah kebajikan menerusi program jualan biskut MAH KL Charity Cookie Bake, hari ini.

Media hari ini melaporkan Presiden Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohammed Shafie BP Mammal berkata, 13 daripada 88 hotel di Semenanjung yang sebelum ini dikenal pasti menetapkan dasar 'standard grooming' melarang pekerja wanita bertudung bersetuju menarik balik peraturan terbabit.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung, Datuk Mohd Jeffry Joakim kepadanya dalam mesyuarat khas di Putrajaya, hari ini.

Sehubungan itu, Mohammed Shafie berterima kasih kepada kerajaan kerana mendengar aduan mengenai isu terbabit dan berharap tindakan tegas akan dilaksanakan terhadap pengusaha hotel yang masih berdegil meneruskan peraturan diskriminasi itu.

Akhbar sebelum ini melaporkan Kementerian Sumber Manusia memandang serius terhadap isu diskriminasi yang didakwa berlaku dalam kalangan beberapa majikan sektor perhotelan.

Menterinya, Datuk Seri Richard Riot dilaporkan berkata, ia berdasarkan pemeriksaan antara tempoh Disember 2017 sehingga 26 Januari lalu yang mendapati larangan itu membabitkan beberapa bahagian, khususnya di Bahagian Makanan dan Minuman (F&B) serta bahagian hadapan hotel.

Disiarkan pada: January 29, 2018 @ 6:31pm
d