mutakhir

Power bank punya hal

Oleh Junaidi Ladjana

KERETA Perodua Kembara terbakar 20 peratus dipercayai akibat alat pengecas mudah alih atau 'power bank' yang diletakkan di dalam kereta berkenaan dalam kejadian di kawasan Terminal Inanam, Kota Kinabalu, pagi hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 12 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian tiga minit kemudian.

"Sebaik tiba, anggota bomba terus memadam api di bahagian papan pemuka kereta berkenaan.

"Api berjaya dikawal daripada merebak 17 minit kemudian dan terbakar hanya 20 peratus di papan pemuka kereta berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Affendy berkata, siasatan tidak menolak kemungkinan ia disebabkan power bank yang ditinggalkan dalam kereta berkenaan.

"Bagaimanapun, anggota bomba masih menyiasat punca sebenar kejadian itu.

"Operasi pemadaman membabitkan sebuah jentera dan EMRS dengan kekuatan seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas," katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2018 @ 8:05pm
d