mutakhir

54,824 calon peroleh 8A

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Seramai 54,824 calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) tahun lalu memperoleh keputusan 8A.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pencapaian itu meningkat 18 peratus berbanding 46,461 calon tahun sebelumnya.

“Seramai 204,684 calon yang menduduki peperiksaan berkenaan di seluruh negara dan tiada calon mendapat semua D bagi semua mata pelajaran ditawarkan.

“Sementara itu, calon yang mendapat 7A pula seramai 21,639 atau 10.57 peratus; 6A (21,462 calon) (10.49 peratus); 5A , (23,950 calon) (11.7 peratus); 4A, (21,156 calon) (10.34 peratus); 3A, (23,223 calon) (11.35 peratus); 2A (14,964 calon)(7.31 peratus) dan 1A, (14,184 calon) (6.93 peratus),” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan UPKK di sini, semalam.

Peperiksaan UPKK dilaksanakan dalam tiga bentuk penilaian iaitu terhadap Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) bermula 1 Februari hingga 20 Ogos 2017, ujian syafawi dan hafazan al-Quran bermula 1 September hingga 16 September.

Sementara ujian bertulis diadakan pada 2 hingga 5 Oktober 2017.

Jamil Khir berkata, selain mendapatkan keputusan di sekolah, calon juga boleh menyemak keputusan secara dalam talian di semakan.islam.gov.my atau melalui khidmat pesanan ringkas mySMS 15888 bermula jam 11 pagi hingga 5 petang pada 5 Februari.

“Mulai tahun ini, pengumuman keputusan UPKK dibuat dan diumum dalam tahun semasa manakala semakan maklumat calon berdaftar juga boleh dibuat ibu bapa atau penjaga secara dalam talian.

“Selain itu, pendaftaran calon kepada bukan warganegara dibuka mulai tahun ini mengikut syarat ditetapkan, inisiatif penambahbaikan sistem pengurusan UPKK ini diambil bagi memastikan sistem perkhidmatan penyampaian maklumat kepada masyarakat dilaksanakan secara lebih cekap dan efektif,”katanya.

Beliau berkata, dari segi prestasi mata pelajaran, PCHI mencatatkan kadar lulus tertinggi iaitu 99.9 peratus diikuti mata pelajaran al-Quran yang mencapai kelulusan 99.7 peratus.

Katanya, pencapaian ini sekali gus menunjukkan kejayaan murid dalam menguasai ibadat solat, tilawah al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian.

Selain itu, pencapaian mata pelajaran jawi dan khat 94.8 peratus, lughatul Quran (91 peratus), Adab (Akhlak Islamiah), 93 peratus, ulum syariah (Akidah dan Ibadah), 85.7 peratus dan sirah (87 peratus).

“Kami tidak mahu UPKK dilihat sebagai tempelan saja, sebaliknya ia perlu diangkat supaya dilihat sama penting, malah menjadi ukuran serta penilaian untuk ke sekolah agama peringkat negeri dan persekutuan.

“Pada masa sama, ia juga menjadi kayu ukur penting untuk kemasukan ke sekolah beraliran agama seperti Ulul Albab dan Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA),”katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 5:41am
d