mutakhir

Kanak-kanak tiga tahun luka dirotan

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun luka di tangan kanan dipercayai akibat dirotan guru taska dalam kejadian di sebuah taska di Taman Lindungan Bercham Indah di sini, Rabu lalu.

Susulan kejadian itu, ibu mangsa membuat laporan polis jam 10 pagi kelmarin selepas tidak berpuas hati dengan alasan diberikan pihak taska yang mendakwa anaknya luka akibat menggaru tangan sendiri.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada suri rumah berusia 45 tahun itu yang mendakwa anaknya dirotan hingga luka.

“Ibu kanak-kanak terbabit memberitahu dia menghantar anaknya ke taska berkenaan dalam keadaan baik jam 7.45 pagi Rabu lalu dan anaknya dihantar pulang kira-kira jam 6 petang menaiki van.

“Wanita berkenaan kemudian mendapati tangan kanan anaknya ada kesan luka dan dimaklumkan oleh guru taska yang anaknya garu tangan sebelum disapu dengan krim luka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, wanita terbabit tidak berpuas hati dengan penjelasan guru taska berkenaan dan berjumpa dengan pengurusan taska sebelum membawa anaknya ke klinik.

Katanya, suri rumah itu membawa anaknya itu ke dua lagi klinik untuk pemeriksaan pada Khamis dan Jumaat lalu dan diberitahu oleh doktor yang luka di tangan anaknya itu adalah kesan lecur.

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 6:11am
d