mutakhir

Tinggal sehelai tuala mandi

Oleh Attirmidzie Rahman

Pasir Mas: Dengan hanya memakai tuala, seorang lelaki sempat menyelamatkan diri selepas rumahnya terbakar di Taman Seri Embun, Tendong di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.50 malam itu, Mohd Zaini Mohamad, 47, yang tinggal sendirian baru selesai mandi di bilik air sebelum menyedari rumahnya terbakar.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di bilik air terletak di luar rumah.

“Sebaik selesai mandi, lampu tiba-tiba terpadam sebelum terhidu bau hangit. Apabila keluar dari bilik air, saya terkejut melihat rumah yang didiami lebih 30 tahun terbakar. Dengan hanya memakai tuala, saya berlari ke tempat selamat sebelum dibantu jiran,” katanya.

Katanya, api merebak cepat menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan barang dalam rumah.

“Biarpun tinggal sehelai sepinggang, saya bersyukur terselamat dan reda dengan kejadian yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas Mohd Nazri A Wahab ketika dihubungi memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9 malam.

“Seramai 16 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba Pasir Mas dan Tunjung bergegas ke lokasi kebakaran. Ketika tiba di lokasi kejadian, rumah berkenaan sudah 90 peratus hangus dan kita mengambil masa 10 minit untuk memadamkan kebakaran,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 6:20am
d